Pernahkah anda begini???
Imam Ghazali memberikan contoh tentang sifat marah dan mengikut kemahuan hawa nafsu yang menjadi satu daripada punca besar keburukan akhlak seseorang. Sebenarnya kedua-dua tabiat ini boleh dikawal dan dikendalikan dengan melatihnya sedikit demi sedikit. Bahkan agama memang menyuruh manusia berbuat demikian.
Hawa nafsu dan sifat pemarah itu wajib dikawal dan dikendalikan. Salah satu cara yang dianjurkan oleh agama ialah dengan selalu berpuasa. Untuk menundukkan kedua-dua sifat itu manusia perlu berjuang, sama tarafnya dengan berjuang dalam peperangan jihad. Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar terhadap sesiapa yang berjaya dalam perjuangan ini. Sebaliknya mereka tidak berjaya dan hidup dengan menurut kehendak hawa nafsu, tidak kira halal dan haram. Maka akan dibalas dengan azab seksaan yang tidak terperi sakitnya.
Walau bagaimanapun seperti yang diterangkan di atas, nafsu, syahwat dan marah itu ada tempatnya yang memberi faedah kepada manusia. inilah tujuannya Allah SWT memberikan kedua-dua sifat itu. Misalnya manusia mempunyai nafsu untuk makan, maka ia mestilah ditunaikan kerana jika putus makanan maka manusia itu akan mati. Tetapi cara menyediakan makanan dan makan itu hendaklah sederhana sahaja, jangan berlebih-lebihan. Firman Allah dan Surah al-A'raf ayat 31 yang bermaksud: .."Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau: sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas".
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Makanlah serta minumlah dan bersedekahlah dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah) asalkan jangan kerana bermegah-megah dan menyombong diri, dan jangan pula melampau-lampau, kerana Allah suka melihat kesan nikmat-nikmat Nya kepada hambanya".
Kesimpulannya, tujuan dikawal hawa nafsu bukanlah hendak mencabutnya sama sekali dari akar umbinya atau menghapuskannya dari tubuh manusia yang dituntut hanyalah untuk mengembalikannya ke tempat yang benar dan sederhana. Sifat marah misalnya, dituntut agar tahu mempertahankan diri, jangan sampai mendiamkan diri atau terlalu pengecut walaupun diri atau umat Islam seluruhnya diancam dan dimusuhi, demikian juga jika hhukum-hukum agama dipersenda dan dicabuli. Sabar ada batasannya. jangan sampai dipijak. jangan sampai maruah dijatuhkan.
Dalam hubungan ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sebenarnya aku ini seorang manusia. Aku marah seperti mana manusia marah (Hadis Riwayat Muslim dan Anas)
Dalam usaha melatih diri untuk mengawal hawa nafsu, kadang-kadang nafsu syahwat itu dapat menguasai jiwa manusia sehingga akal yang sempurna pun terlepas daripada mengendalikannya, tidak terdaya untuk menahannya daripada melakukan perkara-perkara yang keji atau maksiat. Tetapi apabila ia segera menyedari keterlanjurannya itu lalu bertaubat dan berazam untuk kembali kepada yang benar, maka insya Allah ia akan berjaya dan budi pekertinya akan berubah semula kepada yang baik dengan izin Allah.
0 comments:
Post a Comment